Perutusan Pengerusi Koperasi

 

Bismillahirahmanirrahim, dengan nama Allah SWT, Tuhan Semesta Alam, Yang Maha Berkuasa kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat lagi kita menghirup udara segar serta menghayati nikmat Iman dan Ihsan. Selawat dan Salam kepada Junjungan Besar Nabi kita Muhammad SAW dan seharusnya kita selalu berselawat. Alhamdulillah, didalam kesempatan yang sangat berharga ini juga saya dapat bersilaturrahim dengan semua anggota dan meneruskan ucapan perutusan pada kali ini.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang telah memilih dan memberi kepercayaan kepada saya menerajui Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad (KOOPJB) bagi sesi 2018-2019 ini. Kepercayaan dan peluang ini akan saya manfaatkan untuk menyusun perancangan yang berstrategik bagi mencapai objektif koperasi iaitu melahirkan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang berwibawa, berkaliber, berdedikasi dan sekaligus dapat membahagiakan pekerja koperasi serta mensejahterakananggota koperasi keseluruhannya.

Sekalung penghargaan dan ucapan dan ucapan ribuan terima kasih juga kepada semua Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan pekerja koperasi diatas kegigihan serta kesungguhan dalam memastikan koperasi ini terus berkembang maju dan mampu berdaya saing. Kerjasama dan semangat dalam memajukan koperasi ini akan terus menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran dan visi berikutnya adalah menjadi antara 30 koperasi terbaik seluruh Malaysia serta mampu menjadi koperasi antara 10 koperasi terbaik Negeri Johor inshaAllah dengan izin Allah AWT.

Tanpa kesungguhan dan keyakinan yang tinggi terhadap matlamat dan pendekatan Korporat Islam, sesebuah koperasi itu tidak mungkin dapat bertahan lama dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian seperti persaingan sengit, kesempitan ruang, kurang keuntungan dan sebagainya. Oleh yang demikian telah menjadi tanggungjawab Anggota Lembaga Koperasi (ALK) untuk memperkemaskan organisasi diperingkat pengurusan manakala pekerja-pekerja koperasi pula bertanggungjawab mengatur dan mengeratkan lagi organisasi diperingkat pentadbiran.

Selain mempromosikan fungsi koperasi serta menjadi penyumbang utama perolehan iaitu perkhidmatan Pembiayaan Patuh Syariah dan Takaful antara misi utama Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad (KOOPJB) adalah optimis dalam mengembangkan aktiviti perniagaan khususnya di dalam sektor keberhasilan berimpak tinggi seperti aktiviti perniagaan Ar Rahnu, perkhidmatan Dialisis dan pengembangan Hartanah sebagai contoh Sewaan Kedai Pejabat dan Rumah Singgah yang mana aktiviti ini dilihat dapat memberikan impak maksima kepada koperasi dan berpeluang untuk pergi lebih meluas serta terus maju lagi kehadapan.

Selain dari itu juga, kita semua mampu meletakkan nama KOOPJB menjadi sebuah koperasi yang disegani, terulung di nusantara dan terunggul di persada antarabangsa turut menjadi salah satu daripada misi koperasi. Anggota Lembaga Koperasi dan pekerja-pekerja koperasi juga akanberusaha sebaik mungkin untuk memberi sepenuh komitmen, maslahah, kebaikan dan kesejahteraan serta dapat meningkatkan lagi taraf hidup anggota koperasi secara kolektif bermuafakat mahupun holistic berkemajuan demi kurniaan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Kita sedang berhadapan dengan situasi ekonomi global yang kian mencabar dimana koperasi perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan dan mengambil langkah keutamaan yang sewajarnya untuk memastikan kejayaan koperasi di masa hadapan. Ini bertepatan sekali dengan pendekatan yang dibawa oleh saya menerusi prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang boleh dijadikan sebagai panduan halatuju transformasi koperasi berlandaskan kepada 6 prinsip utama iaitu mesra pasaran, memenuhi keperluan, berasaskan merit, bercirikan ketelusan, pro pertumbuhan sosioekonomi anggota serta daya saing yang mampan.

Setelah melihat perkembangan yang pesat dalam koperasi ini dimana ianya kian meningkat dan maju dari semasa ke semasa. Maka amatlah besar harapan saya sekiranya dapat menyerlahkan lagi sebuah inisiatif baru mesra anggota, mencetus daya kreativiti dan inovasi yang bermutu tinggi dalam memasarkan produk koperasi mengikut keperluan dan kehendak umum seperti meluaskan lagi empayar premis Pajak Gadai Islam (Ar Rahnu KOOPJB) dan membawa nilai-nilai Korporat Islam di dalam Koperasi menerusi kerjasama erat dengan semua agensi yang terlibat termasuklah rangkaian Ar Rahnu di seluruh Negeri Johor khususnya dan di Malaysia amnya.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih yang tidak terhingga diatas sokongan padu terhadap apa jua aktiviti yang dilaksanakan oleh koperasi. Saya merasa sungguh teruja sekali terhadap sokongan yang ditunjukkan oleh seluruh anggota yang baik hati dan semua warga Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad (KOOPJB).

“SATU BAGI RAMAI, RAMAI BAGI SATU”

 

MAHDON BIN HJ. TASIM
Pengerusi,
Koperasi Pegawai Kerajaan
Daerah Johor Bahru Berhad (KOOPJB).

7 Julai 2018